STINGS- Adakah kau setia

Sunday, 1 March 2015

KESIMPULAN

Sesungguhnya setiap agama mengajar penganutnya berbuat baik kepada sesama manusia, menghormati hak orang lain, dan melarang kepada perlakuan yang merosakkan. Inilah yang diterima oleh majoriti penganut pelbagai agama di Malaysia dan kefahaman ini perlu ditingkatkan demi kesejahteraan Negara tercinta ini.

pendahuluan

PENDAHULUAN

1. Konsep dan Definisi Toleransi

Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefiniskan toleransi sebagai bersikap toleran yang merujuk kepada sedia menghormati atau menerima pendapat atau pendirian orang lain yang berbeza dengan pendirian atau pendapat sendiri. Manakala menurut Longman Dictionary Comtemporary English (2003), perkataan toleration (toleransi) bermaksud:

Willingness to allow people to believe what they want without being criticized or punishment.

Ertinya kemampuan untuk membenar dan menerima apa yang dipercayai oleh individu tertentu tanpa mengkritik atau menghukum. Toleransi menjurus kepada sikap keterbukaan untuk menerima sesuatu perkara atau agenda dengan baik untuk seseorang individu atau kumpulan tanpa ada syak wasangka buruk. Dalam bahasa Arab ia bermaksud tasamuh. Dalam Kamus Dwibahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada memberi erti kesabaran; tasamuh.

Menurut pendapat Dr. Abd Monir Yaacob, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (2003), toleransi sebagai satu sikap pegangan kehidupan dalam masyarakat memberi erti tidak idealisme, tidak fanatik, tidak selfish - mementingkan diri sendiri; mempunyai sikap keterbukaan, realistik, muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak orang lain. Orang yang mengamalkan sikap toleransi berupaya menanggung sesuatu tekanan atau berupaya menerima kesusahan dan kritikan, boleh berkorban untuk orang lain dan bersikap terbuka dan lapang dada. Ciri-ciri tersebut adalah penting dihayati dalam masyarakat majmuk supaya keharmonian dapat dicapai.

Keharmonian tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa sikap toleransi dan dengan buruk sangka. Bagi melahirkan keharmonian yang berterusan memerlukan ``kejinakan hati'' antara lapisan masyarakat. Perlu ada keserasian dalam kehidupan dengan menghindar ``buruk sangka dan kesangsian''. Dalam sebuah rumah tangga memerlukan kejujuran, keikhlasan dan amanah. Mewujudkan suasana kasih sayang dan kemesraan.

Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, masyarakat yang perlu dibina mestilah bermoral dan beretika, iaitu sebuah masyarakat bersatu padu yang mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh serta bersikap toleransi. Justeru, sukatan Pendidikan Moral KBSM (2000) memasukkan nilai toleransi dalam Bidang Pembelajaran 1: Nilai Berkaitan Dengan Perkembangan Diri. Menurut buku sukatan ini, toleransi didefinsikan sebagai kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.

Kenyataan di atas juga berkaitan dengan nilai hormat, keadilan, kebebasan, dan semangat bermasyarakat seperti yang tertera dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Dalam KBSM, pemupukan nilai ke 16, iaitu semangat bermasyarakat bertujuan menggariskan kesediaan melakukan sesuatu dengan semangat kekitaan demi kepentingan bersama bagi mewujudkan keharmonian hidup dalam bermasyarakat. Untuk mempastikan kejayaan nilai ini disemai dalam kalangan pelajar, nilai toleransi perlulah diperkukuhkan.

Pada tahun 1991, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengemukakan Wawasan 2020 yang menggariskan sembilan cabaran. Cabaran kelima menjurus kepada pentingnya toleransi iaitu mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan idea, kebudayaan dan kepercayaan agama masing – masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan kepada negara.
Wan Zahid (1988) dalam Dr. Tajul Ariffin dan Dr. Nor’ Aini (1992) menegaskan sistem pendidikan merupakan wadah utama untuk membentuk identiti anak bangsa, menjadi alat terpenting untuk menjayakan pembangunan negara, berfungsi sebagai wahana yang kukuh untuk mencapai perpaduan serta kesejahteraan bangsa dan negara. Pendidikan yang mampu menghadapi cabaran dan tuntutan harus mempunyai paksi atau teras yang kukuh.

Justeru, Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1961 serta berasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang mengutamakan perpaduan sebagai matlamat utama pendidikan telah mengalami beberapa kali kajian semula untuk mempastikan matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, hidup berharmoni, dan berdisiplin tercapai. Dan, untuk mencapainya, nilai toleransi perlu diperkukuhkan kerana ia melibatkan gabungan budaya serta agama masyarakat majmuk Malaysia.

Sehubungan itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mensasarkan agar dapat melahir dan memperkembang potensi individu secara menyeluruh serta bersepadu berharap agar rakyat Malaysia kelak dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sinonim dengan Islam Hadhari telah menggariskan sepuluh prinsip utama Islam Hadhari. Pembangunan ekonomi yang seimbang (prinsip kelima), kehidupan berkualiti (prinsip keenam) dan kekuatan pertahanan serta perpaduan (prinsip kesepuluh) memerlukan toleransi antara kaum untuk mencapainya. Tanpa toleransi, kuasa ekonomi tidak akan dapat dibahagi sama rata. Kepincangan keseimbangan ekonomi akan menggugat kehidupan yang berkualiti dan ini boleh menghancurkan kekuatan pertahanan serta perpaduan.

Akibat ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum maka wujudlah pelbagai spekulasi, iri hati, dan kurang senang yang berterusan di kalangan masyarakat dan akhirnya berlakulah peristiwa hitam 13 Mei. - Dewan Siswa, September 2005

Jelasnya, nilai toleransi berkaitan dengan sikap tolak ansur serta sikap liberal individu dalam masyarakat bagi menjamin keharmonian dan kemakmuran negara. Merujuk kepada kupasan umum di atas, dapatlah dikatakan bahawa tanpa nilai toleransi yang kukuh matlamat KBSM, KBSM, Wawasan 2020, dan Dasar Pendidikan Kebangsaan mungkin tidak akan tercapai.

Persoalannya : masih ampuhkan lagi toleransi antara kaum di Malaysia setelah 48 tahun merdeka dan masih utuhkah lagi kontrak sosial kaum di Malaysia setelah pembangunan dan kemajuan negara mula dirasai ?

Tugasan ini akan cuba mengupas sebaik mungkin nilai toleransi dalam masyarakat Malaysia sebelum kemerdekaan, semasa menuntut kemerdekaan, selepas kemerdekaan dan masa kini. Mengapakah nilai ini begitu penting sehingga menjadi salah satu nilai yang perlu disemai melalui Pendidikan Moral ? Skop persoalan dan permasalahan di atas akan cuba dikupas dari sudut sejarah kemerdekaan dan pendidikan negara, sebaik mungkin, Insya Allah.